Lelaki Maut Akibat Nahas Dua Kenderaan

HULU SELANGOR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, 23, memandu kereta jenis Proton Satria disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terperangkap di dalam kendaraannya sebelum dikeluarkan oleh pihak bomba.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, siasatan mendapati Proton Satria dipandu mangsa dari arah Gombak menuju Bukit Beruntung, bertembung dengan Proton Iriz dipandu lelaki berusia 29 tahun yang masuk ke laluan bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit dalam kenderaan dan anggota bomba yang tiba di lokasi mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkannya.

“Mangsa itu disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

“Pemandu Proton Iriz mengalami kecederaan dalaman dan telah dikejarkan ke Zon Merah Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat