PETALING JAYA: Hasrat ingin menyewa rumah di sebuah residensi di Jalan Razak Mansion, Sungai Besi tidak tercapai, malah seorang lelaki mengalami kerugian RM1,150 selepas berurusan dengan seorang ejen.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, lelaki berusia 25 tahun itu diperdaya dalam urusan menyewa rumah yang sebenarnya sebuah unit inap desa (homestay) oleh ejen tersebut.
“Pekerja swasta itu mendakwa tertarik dengan iklan sewaan rumah yang diiklankan sebuah laman sesawang hartanah, pada 23 April lalu.
“Pengadu kemudian menghubungi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Coco Chan bagi tujuan melihat dan menyewa unit kediaman terbabit.
“Pada Jumaat lalu, pengadu ke kediaman itu yang terlekat di tingkat 38 residensi terbabit dan bertemu seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Natasha, kononnya ejen rumah terbabit, sebelum diminta membuat bayaran pendahuluan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selepas berurusan, Aidil berkata, pengadu membuat pembayaran ke dalam satu akaun bank nama Koo Hooi Khen pada hari sama.
Bagaimanapun, selepas pembayaran dilakukan, suspek mula memberikan pelbagai alasan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjanjian sewa.
“Pengadu mula mengesyaki dirinya ditipu selepas dimaklumkan unit terbabit sebenarnya adalah homestay dan bukannya rumah untuk disewa daripada pemilik rumah terbabit,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam urusan sewaan rumah secara dalam talian, termasuk memastikan latar belakang ejen yang sah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Baca juga: