Bukan UMNO-DAP sahaja, tapi gabungan 18 parti – Ahmad Maslan

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan kerajaan perpaduan hari ini bukan dibina dengan atas dasar UMNO dan DAP semata-mata, namun ia terbentuk hasil gabungan 18 parti yang berbeza.

Oleh itu katanya, adalah tidak wajar untuk menuduh kerajaan itu sebagai kerajaan UMDAP semata-mata.

“Sekarang ini, kerajaan Perpaduan mempunyai 153 kerusi. Kita bermula dengan 148 kerusi, kemudian tolak satu (Muar) tinggal 147.

“Selepas itu, enam Ahli Parlimen daripada BERSATU menyatakan sokongan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 153,” jelas beliau seperti yang dipetik oleh Berita Harian pada Selasa.

Kata beliau, sekiranya hanya UMNO dan DAP sahaja yang menjadi gabungan, jumlah kerusi dimiliki hanyalah sekitar 70 kerusi dan ia terlalu jauh untuk memenuhi keperluan majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Tambahnya, walaupun Parti MUDA bukan lagi berada di dalam blok kerajaan, penyertaan secara mengejut oleh enam wakil rakyat BERSATU itu mengekalkan jumlah parti penyokong kerajaan kepada 18.

Jelas Ahmad Maslan, naratif ‘UMDAP’ itu sering dimainkan pembangkang sebagai usaha meraih sokongan melalui sentimen negatif yang tidak berlandaskan fakta sebenar.

“Pembangkang main sentimen negatif yang tidak betul, Kami pula membina naratif yang betul. Sebab itu rakyat memilih kami kerana kami bercakap benar dan mereka bercakap bohong.

“Siapa cakap bohong, kalah lah dia. Siapa cakap benar, menang lah dia,” katanya.

Ahmad juga meminta penjelasan mengenai UMDAP ini dibawa pemimpin UMNO di peringkat bahagian untuk diterangkan sepanjang mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung kini termasuk di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat