Politik

Lepasi tarikh akhir pendaftaran punca ‘tiada undangan’ ke persidangan

Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tangga Batu tidak menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof untuk menghadiri persidangan bahagian itu pada minggu lalu bersifat peribadi.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Hasril Hassan berkata, ini kerana individu terbabit membuat permohonan menyertai Bersatu bahagian itu pada tahun ini.

Menurutnya, tindakan itu sekali gus menyebabkan beliau tidak layak menyertai persidangan cawangan dan juga bahagian kerana telah melepasi tarikh akhir pendaftaran ahli serta pertukaran cawangan yang ditetapkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) iaitu pada 31 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, selepas pelantikan Ketua Bahagian Penaja oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Januari lalu, kemudian diteruskan dengan pelantikan jawatankuasa penaja.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang perlanggaran peraturan mesyuarat dan perlembagaan parti,” katanya.

Dr Mohd Aleef Yusof

Jelasnya, Bersatu bahagian itu turut menafikan sebarang dakwaan bahawa wujudnya sekatan untuk mana-mana ahli menonjolkan diri dan bertanding untuk memegang jawatan.

Malah ujarnya, Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon telah beberapa kali menegaskan keterbukaannya menyuburkan demokrasi dalam parti, dalam masa sama mengingatkan keperluan untuk saling hormat menghormati serta bertoleransi antara semua ahli.

“Oleh itu Bersatu Tangga Batu berasa wujud keperluan untuk memberi penjelasan demi menjaga nama baik Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang turut dipalitkan dengan permasalahan kami di peringkat bahagian,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Dr Mohd Aleef akan setia bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun mendakwa tidak mendapat ‘restu’ daripada Bersatu Tangga Batu.

Mohd Aleef berkata, beliau kesal apabila pihak berkenaan masih menganggapnya sebagai Pemuda UMNO sedangkan beliau telah membawa kemenangan di kerusi DUN Sungai Udang.

Menurutnya, kerana persepsi itu, beliau mendakwa dipinggirkan dan kehadirannya di kawasan itu seolah-olah tidak dialu-alukan termasuk tidak dijemput pada persidangan bahagian Bersatu Tangga Batu yang berlangsung Sabtu lalu. – Sinar Harian

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close