PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan Ekspedisi Pembaharuan Semula Bandar (XPDC PSB) yang membawa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara dan pengamal media turun padang bagi meninjau keadaan perumahan bertingkat lama yang semakin uzur di ibu negara.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata XPDC ini bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pembuat dasar mengenai keperluan mendesak untuk memulakan proses pembaharuan semula bandar melalui penggubalan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).
“Usaha ini amat penting bagi merangka penyelesaian holistik terhadap isu-isu perumahan bertingkat lama yang berisiko dari segi struktur, keselamatan dan kebersihan.
“Antara lokasi yang dilawati termasuk Flat Sutera Taman Desa Bakti dan Flat Taman Kuchai Jaya, dua contoh kawasan perumahan lama yang memerlukan campur tangan segera.
“Rombongan turut dibawa ke projek pembaharuan yang berjaya seperti 1 Razak Mansion dan Residensi Kerinchi bagi memperlihatkan potensi sebenar transformasi yang boleh dicapai menerusi kerjasama pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Turut serta dalam XPDC ini adalah seramai 19 orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara termasuk Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusuf; ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching; ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, serta Senator Roderick Wong Siew Lead, Senator Amir Md Ghazali dan Senator Isaiah A/L D Jacob.
Melalui pendekatan ‘lawatan tapak sebelum pindaan undang-undang’, kata Kor Ming, XPDC ini menjadi platform penting bagi memberikan gambaran menyeluruh tentang isu-isu lapangan kepada Ahli Parlimen sebelum pembentangan rasmi RUU PSB di Parlimen yang dijangka berlangsung penghujung Jun 2025.
“KPKT akan terus komited memperjuangkan kehidupan yang lebih selesa dan bermaruah untuk semua lapisan rakyat, khususnya penghuni perumahan lama yang memerlukan perhatian segera,” tambahnya.
Baca juga: