Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menjelaskan tanggungjawab Israel sebagai kuasa penjajah di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT), kerana tindakannya dianggap sebagai penjajahan yang dirancang dan berterusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tumpuan Malaysia adalah untuk mempertahankan hak rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri serta mendapatkan keadilan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia berdiri di hadapan Mahkamah Yang Mulia ini bukan semata-mata untuk bersuara bagi pihak rakyat yang hidup di bawah penjajahan, tetapi untuk menyuarakan suara setiap warga yang percaya kepada keadilan, maruah dan kedaulatan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Lisan di ICJ, The Hague.
Dalam masa sama, beliau berkata sejak Februari 2024, Israel semakin menindas rakyat Palestin dengan memusnahkan kemudahan asas, sekolah dan hospital, serta meluluskan undang-undang untuk haramkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat atau UNRWA.
“Israel bukan sahaja gagal membekalkan keperluan asas, malah memusnahkan sumber penting secara melulu. Tindakan mengharamkan UNRWA telah memutuskan talian hayat kemanusiaan utama untuk orang awam,” katanya.
Tambahnya, Israel turut mengabaikan keputusan-keputusan penting mahkamah antarabangsa dan menyekat sepenuhnya bantuan ke Gaza, menyebabkan penderitaan besar kepada penduduk Palestin.
“Sejak Februari, keadaan bukan sahaja semakin merosot, malah berubah menjadi pemindahan dan pemusnahan yang diumumkan secara terbuka dan dilaksanakan dengan kezaliman,” katanya.
Menurutnya, Israel bukan sahaja melanggar tanggungjawab sebagai kuasa pendudukan, malah mengingkari tanggungjawabnya sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya mengutamakan prinsip hak sama rata dan penentuan nasib sendiri.
Mengakhiri kenyataan, Azalina memetik kata-kata falsafah Greek, Plato: “The worst form of injustice is pretended justice” – yang membawa maksud “Ketidakadilan yang paling hina adalah berpura-pura adil”
Baca juga: