Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi bukti bahawa pengundi, terutamanya anak muda semakin menolak retorik politik perkauman dan agama yang dimainkan pembangkang.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, golongan muda kini lebih cenderung memilih parti yang menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu masa depan mereka, seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan berbanding sentimen sempit.
“Anak muda ini jika diberi peluang dan pendedahan untuk menilai sendiri gerak kerja kita, mereka akan mula melihat di sebalik retorik kosong perkauman.
“Anak muda perlukan penyelesaian isu-isu konkrit berkenaan masa depan mereka, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan sebagainya, bukannya sentimen sempit mengapi-apikan perkauman,” katanya ketika dihubungi kepada Malaysia Bangkit.
Beliau turut mengulas kemenangan bergaya BN di Ayer Kuning yang menyaksikan saluran pengundi muda berpihak kepada calon kerajaan. *
“Kalau kita tengok saluran pengundi muda kali ini memang diungguli calon BN.
“Ia menunjukkan gabungan pengundi muda PH dan BN yang sama-sama inginkan kestabilan dan kerajaan yang cakna kebajikan rakyat,” tambahnya.
Young Syefura juga menyatakan persetujuan terhadap nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya golongan muda tidak diheret ke dalam pergeseran politik sempit.
“Sudah tentu saya bersetuju. Kita kini dilanda ketidaktentuan geopolitik yang semakin mengancam.
“Dunia berdepan perang ekonomi AS-China dan konflik India-Pakistan yang meningkat. Ini semua menjejaskan ekonomi dunia.
“Kita tiada masa untuk mengheret anak muda ke kancah perkauman, sebaliknya perlu mempersiapkan mereka untuk cabaran masa depan,” katanya.
Dalam PRK Ayer Kuning, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 5,006 undi, menewaskan calon PN, Abdul Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Penganalisis politik melihat keputusan itu sebagai isyarat jelas bahawa pengundi, khususnya anak muda, lebih matang dalam menilai keutamaan negara berbanding politik perpecahan.