Tarif AS: Malaysia cenderung kekal diplomasi, erat hubungan blok ASEAN, BRICS – Pakar

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Gelombang tekanan timbal balik tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuatkan Malaysia untuk lebih cenderung mengimbangi kuasa ekonomi AS dan dalam masa sama mengeratkan lagi hubungan bersama blok ASEAN dan BRICS.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata Malaysia tidak pula melancarkan konfrontasi ke atas AS sepertimana yang dilakukan oleh China.

“Apabila kita berdepan dengan situasi kenaikan tarif Amerika ini, memang ia memberi satu tekanan besar kepada negara kita.

“Kerana nilai dagangan kita bersama AS adalah kira-kira RM350 bilion antaranya ialah semikonduktor, itu adalah satu jumlah yang besar.

“Maka bagaimanakah cara Malaysia untuk menangani situasi ini, sudah pastilah kita tidak boleh berkonfrontasi dengan Amerika sebagaimana kuasa-kuasa besar ekonomi dunia yang lain seperti China yang mengambil tindakan balas terhadap kenaikan tarif Amerika dengan menggunakan tarif yang tinggi juga ke atas barangan Amerika,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Isnin.

Dr Mazlan Ali berpandangan, Malaysia lebih memilih untuk tidak berada dalam satu-satu blok yang kekal namun mengambil langkah dengan membina hubungan diplomatik bersama semua negara kerana langkah itu dianggap memberi kesan yang lebih buat negara.

“Malaysia mempereratkan hubungan dengan blok-blok serta kuasa besar seperti China dan ASEAN iaitu satu perantau yang penting dan memberi satu kekuatan kepada Malaysia.

“Sebelum ini (Malaysia) ada hubungan yang baik dengan BRICS ini, merupakan satu langkah atau masa untuk mengimbangi,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, Malaysia dilihat sedang mencari rakan yang baharu bagi menggantikan nilai eksport atau dagangan yang terjejas akibat peletakan tarif yang tinggi oleh AS.

“Melalui hubungan dengan banyak blok dan tidak tertumpu kepada hanya satu blok membolehkan Malaysia mencari peluang-peluang yang lain.

“Malah langkah yang lebih besar dalam memperluaskan peluang-peluang perdagangan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan mengambil dan melaksanakan strategi pendekatan dua hala (bilateral) dan pelbagai hala (multilateral) dipacu oleh tiga keutamaan “reform, engage and diversify”.

“AS merupakan antara rakan dagang terpenting untuk Malaysia namun Malaysia mempunyai portfolio perdagangan yang berdiversifikasi (pelbagai) atau tidak terlalu bergantung kepada satu atau dua pasaran semata-mata,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat