MCA Disaran Kekal Setia, Fokus Perkuat Parti – Puad

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: MCA diingatkan untuk terus menjadi rakan setia Barisan Nasional (BN) dan bukannya membuat keputusan drastik seperti menarik diri ketika beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan bahawa MCA tidak seharusnya menyalahkan BN atas kemerosotan sokongan pengundi Cina.

Sebaliknya, beliau mencadangkan MCA merenung kembali kelemahan dalaman yang menyebabkan parti itu hanya memenangi dua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tiada kaitan terhadap BN. Ketika itu BN bertanding solo. Kerjasama BN dan PH untuk membentuk kerajaan hanya berlaku selepas PRU ke-15,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menyelar kenyataan Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhou Li, yang menyalahkan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) atas kemerosotan UMNO.

“Dakwaan Ketua Pemuda MCA Johor Heng Zhou Li lagi dangkal. Dia kata kerjasama BN-PH menjejaskan masa depan UMNO.

“UMNO terjejas teruk bila BN kalah di PRU14. Tetapi UMNO tidak salahkan BN,” tambah Puad lagi.

UMNO, katanya, kini menunjukkan kebangkitan semula, dibuktikan menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning.

“UMNO bangkit semula. Untuk tuduh UMNO merosot, lihatlah tiga PRK di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning. Sebab itu MCA perlu tabah,” tegasnya.

Beliau turut menyeru MCA agar tidak ‘merajuk’ dengan menarik diri daripada PRN 2023 di negeri seperti Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sebaliknya, MCA disaran fokus kepada peranan yang dimenangi di negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang demi membuktikan keupayaan mereka menarik semula sokongan rakyat.

Puad juga memberi jaminan bahawa UMNO akan terus mempertahankan parti komponen BN seperti MCA, MIC dan rakan BN yang lain agar kekal bersama.

“Kerjasama BN-PH adalah untuk kelangsungan rakyat dan kerajaan yang stabil.

“BN mesti membuktikan ia mendengar nasihat Raja-Raja Melayu, komited dan kekal sederhana. Itulah hala tuju yang jelas,” ujar Puad.

Krisis MCA-BN bermula apabila MCA mendakwa mereka diketepikan susulan penyusunan kerusi yang dianggap tidak adil semasa PRN sebelum ini.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, baru-baru ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap BN, menyatakan bahawa parti itu sering diketepikan walaupun setia bersama BN selama berdekad-dekad.

“Kami (MCA) telah membuat segala usaha yang mungkin untuk menyampaikan pandangan kami kepada Barisan Nasional.

“Termasuk saya telah mengeluarkan banyak kenyataan dan mengemukakan pelbagai idea dan soalan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan Mesyuarat Setiausaha Agung,” katanya semasa Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang.

Anda Mungkin Berminat