PETALING JAYA: Kerajaan hari ini bersetuju untuk menamatkan kawalan harga telur ayam serta pengurangan kadar subsidi secara berperingkat yang mana ia sejajar dengan pendekatan penyasaran semula subsidi di bawah Kerajaan Madani.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi satu kenyataan media dan berkata, bermula 1 Mei 2025, kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos depan.
Kata kementerian itu, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen industri agar dapat terus memastikan bekalan telur ayam mencukupi dan terjamin, susulan kos pengeluaran yang kini berada pada tahap stabil.
“Situasi ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini apabila bekalan telur ayam didapati mencukupi dan dijual pada harga yang kompetitif,” katanya.
Untuk info, sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam.
“Subsidi ini bertujuan membantu industri menampung peningkatan kos pengeluaran akibat pandemik Covid-19 serta krisis geopolitik seperti peperangan antara Ukraine dan Rusia yang menjejaskan harga import bahan makanan ternakan seperti soya dan jagung bijian,” ujarnya.
Bagaimanapun jelas kementerian itu, kerajaan berpandangan bahawa tempoh kawalan harga dan subsidi yang berpanjangan tidak lagi mampan untuk kelangsungan industri pengeluar tempatan serta kedudukan kewangan negara.
Ini kerana katanya, langkah penyasaran semula subsidi ini juga dilihat lebih adil kerana subsidi sebelum ini turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.
Maka dengan itu, katanya, penjimatan daripada penamatan subsidi tersebut akan digunakan untuk membiayai projek-projek kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai Madani.
Tambahnya lagi, bagi meminimumkan lagi impak terhadap kos sara hidup rakyat, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah intervensi antaranya industri bersetuju memperkenalkan telur gred khas pada harga berpatutan.
“Kedua, pelaksanaan inisiatif ‘Jualan Agro Madani’ dan ‘Jualan Rahmah’ di seluruh negara, termasuk di premis Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), bagi menyediakan bekalan telur pada harga lebih kompetitif,” katanya.
Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan isu bekalan telur ayam boleh menyalurkannya melalui e-mel rasmi KPKM di [email protected] atau menghubungi hotline Ibu Pejabat KPKM di Putrajaya di talian 03-8000 8000,” katanya.