Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Malaysia perlu meneroka pasaran baharu dan memperkukuh diplomasi ekonomi bagi menghadapi kesan kenaikan tarif global yang memberi tekanan kepada sektor eksport.
Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Ahmad Martadha Mohamed berkata, peningkatan tarif akan meningkatkan kos eksport sekali gus memberi kesan terhadap harga barangan dalam negara.
“Apabila tarif tinggi, kos mengeksport meningkat dan ini memberi kesan kepada harga barangan di pasaran tempatan.
“Antara strategi yang boleh dilaksana ialah meneroka pasaran baharu seperti China, negara ASEAN termasuk Brazil,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Menurut beliau, langkah Malaysia untuk menyertai blok ekonomi baharu seperti BRICS juga merupakan strategi berpotensi bagi memperluas kerjasama perdagangan dan mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal.
Tambah beliau, tekanan domestik di Amerika Syarikat (AS) sendiri termasuk bantahan oleh pengguna dan syarikat besar dilihat mendorong pentadbiran negara itu untuk mengkaji semula dasar tarif berkenaan.
“Saya melihat ada kemungkinan kadar tarif yang kini mencecah 40 hingga 26 peratus akan dikurangkan semula kepada sekitar lima hingga enam peratus, selari dengan negara lain,” katanya.
Untuk rekod, AS mengenakan tarif tinggi terhadap barangan import dari China sebagai tindak balas terhadap apa yang dianggap sebagai amalan perdagangan tidak adil, pencurian hak kekayaan intelektual dan ketidakseimbangan dagangan.
China membalas dengan tarif terhadap produk AS.
Perang tarif ini menyebabkan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global.
Walaupun Malaysia bukan sasaran utama tarif AS, negara ini turut terkesan secara tidak langsung.
Reaksi Malaysia terhadap tarif AS boleh disimpulkan melalui beberapa pendekatan, pertama neutral dan berhati-hati.
Malaysia mengambil pendekatan diplomatik dan tidak secara terbuka mengkritik AS, sebaliknya menekankan pentingnya sistem perdagangan multilateral yang adil.