PETALING JAYA: Sempena Hari Kebebasan Media 2025, Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menegaskan bahawa kebebasan media di Malaysia masih belum dimenangi sepenuhnya meskipun berlaku peningkatan skor dalam Indeks Kebebasan Media global.
Dalam kenyataannya hari ini, GERAMM berkata tema tahun ini, “Bebas, Bukan Tunduk” bukan sekadar slogan tetapi satu peringatan tentang pertarungan berpanjangan yang perlu diteruskan.
“Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah langkah penting, tapi kami tegaskan — penubuhan sahaja tidak memadai. Persoalannya sekarang, siapa yang akan menganggotainya dan apakah mandat mereka benar-benar bebas atau hanya pak turut?” tegas GERAMM dalam satu kenyataan pada Sabtu.
GERAMM menyeru agar pelantikan ahli majlis dilakukan secara telus dan inklusif, melibatkan wakil-wakil dari media, akademik, masyarakat sivil serta bukan sekadar tokoh yang rapat dengan kuasa.
“Majlis ini mesti jadi penjaga etika, bukan alat kawalan baru dengan wajah lebih mesra. Kredibilitinya bergantung kepada siapa yang mengemudi dan sejauh mana mereka berani bertindak demi kepentingan awam.” Menurut kenyataan itu lagi.
GERAMM turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) yang disifatkan berpotensi mengekang media atas talian sekiranya tidak dikaji secara mendalam.

“Akta era kolonial ini sudah tidak relevan. Pindaan kosmetik atau penambahan hukuman hanya akan melanjutkan hayat penindasan dalam bentuk baharu,” katanya.
Kumpulan itu juga membangkitkan isu kebajikan wartawan yang menurut mereka semakin terhimpit dengan beban kerja tinggi, bayaran tertangguh dan kurang perlindungan kesihatan.
“Tanpa keupayaan untuk hidup bermaruah, wartawan tidak akan mampu menulis dengan bebas,” tambahnya.
Dalam kenyataan sama, GERAMM turut menekankan keperluan pengurusan etika dalam penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam industri berita supaya tidak menggantikan suara manusia yang membawa nilai dan konteks.
Sebagai memperingati Hari Kebebasan Media, GERAMM akan menganjurkan program Media Freedom Day 2025 pada 17 Mei ini di Gerakbudaya, Petaling Jaya yang bakal menghimpunkan wartawan, pelajar dan masyarakat sivil.
“Kami tidak mahu kebebasan bersyarat. Kami tuntut kebebasan yang dijamin,” katanya.
Baca juga: