Anwar Yakin Isu Petronas di Sarawak Diselesai Secara Berhemah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa isu melibatkan hubungan antara Petronas dan syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, Petros, akan dapat diselesaikan secara berhemah dan melalui saluran yang sewajarnya.

Menurut beliau, perbincangan awal telah diadakan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berdasarkan prinsip yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Setibanya Premier Sarawak dari lawatan rasmi ke London nanti, perbincangan lanjut akan diadakan untuk memuktamadkan perkara ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial rasmi beliau.

Dalam kenyataan itu juga, Anwar menegaskan agar semua pihak menangguhkan sebarang tindakan atau kenyataan awam berhubung isu tersebut demi kepentingan bersama.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa isu ini dapat dirungkai dengan berhemah dengan berdiri teguh di jalur wacana yang sihat dan bermakna, Insya-Allah,” katanya.

Isu antara PETRONAS dan Petros sering menjadi perhatian dalam konteks hak negeri Sarawak terhadap sumber minyak dan gas, serta pelaksanaan hak autonomi yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anwar sebelum ini menyatakan komitmen kerajaan Persekutuan untuk terus menghormati hak-hak negeri di bawah semangat federalisme dan memperkukuh kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat