Murung Akibat Kematian Isteri Punca Lelaki Baring Atas Jalan Raya

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang tular kerana menganggu lalu lintas di Jalan Parit Bilal di sini, pada Jumaat lalu, dipercayai kurang siuman dan mengalami tekanan perasaan selepas kematian isterinya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kelakuan lelaki itu pada jam kira-kira 1.20 petang pada hari sama.

“Lelaki berusia 40 tahun itu telah berjalan kaki secara mundar-mandir dan turut membuat gangguan lalu lintas serta meniarap di atas jalan raya.

“Hasil tindakan dan siasatan serta dokumentasi awal mendapati dia sedang dalam kemurungan kerana tekanan perasaan berlarutan susulan kehilangan isteri.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati dia bebas dari pengaruh dadah dan dalam kejadian tersebut tidak berlaku sebarang insiden kerosakan atau kecederaan kepada mana-mana pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya lagi, lelaki terbabit telah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan perubatan.

Terdahulu, tular video berdurasi 19 saat di media sosial memaparkan orang ramai dengan bantuan polis menahan seorang lelaki di atas jalan raya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat