BUKIT KAYU HITAM: Projek pembinaan laluan jalan raya baharu yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Kompleks Imigresen CIQ Sadao, Thailand kini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 47 peratus, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata demikian semasa lawatan turun padang ke tapak projek di sini sebagai sebahagian daripada program #MADANIBekerja, untuk meninjau sendiri perkembangan projek penting yang dijangka siap sepenuhnya pada September 2025.
Projek ini merupakan milik Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana dengan kos keseluruhan bernilai RM141.57 juta.
Tapak rasmi projek telah diserahkan pada 21 Jun 2024.
Skop utama projek ini merangkumi:
- ● Pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter mengikut piawaian JKR U5;
- ● Pembinaan jalan perkhidmatan sepanjang 300 meter ke Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam (JKR R5);
- ● Kerja perobohan dan pembinaan semula Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan melibatkan 10 blok bangunan baharu; dan
- ● Pembinaan bangunan Pos Kawalan Akhir serta pintu gerbang berbumbung.
Menurut beliau, projek ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan di sempadan negara dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
“Saya telah mengarahkan pihak JKR Malaysia, JKR Negeri dan kontraktor utama supaya terus berganding bahu memastikan projek ini disiapkan mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa yang ditetapkan, seiring dengan matlamat sifar projek sakit,” katanya.
Baca juga: