KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2026 untuk mengemas kini unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini.
Langkah itu dibuat berikutan ketidaktentuan global terutama dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang boleh memberi impak kepada ekonomi Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sasaran pertumbuhan KDNK tahun ini yang ditetapkan dalam Belanjawan 2025, iaitu antara 4.5 hingga 5.5 peratus, mungkin sukar dicapai.
“Justeru, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia akan terus memantau serta menilai kesan tarif secara menyeluruh.
“Semakan semula unjuran KDNK akan dilakukan apabila terdapat kepastian lebih tinggi mengenai dasar pentadbiran baharu AS dan hasil rundingan dua hala berkaitan tarif timbal balas,” katanya semasa Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung isu tarif AS.
Beliau berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan, hala tuju dasar kerajaan kekal bersasar dan berasaskan data.
“Langkah akan diambil dengan pemantauan rapi terhadap faktor mikro ekonomi dan perkembangan dasar perdagangan antarabangsa,” katanya.