PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa generasi muda memainkan peranan penting dalam menangani cabaran geopolitik, khususnya dalam hubungan Malaysia dengan negara besar seperti China dan Amerika Syarikat.
Dalam Program Temu Anwar di Institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), beliau mengulas mengenai perubahan kuasa dunia, dengan China kini semakin berpengaruh dalam ekonomi dan politik global.
Walaupun hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat masih kukuh, Anwar menekankan perlunya pendekatan seimbang dalam menjalin hubungan dengan semua negara, termasuk China.

“Kita melihat perkembangan positif ini, terutama dengan kerjasama Malaysia-China yang semakin erat dalam pelbagai bidang. Bulan lalu, Presiden Xi Jinping telah datang ke Malaysia, dan pada akhir Mei ini, Premier Li Qiang akan hadir bersama pemimpin negara Teluk (GCC)dan ASEAN,” katanya.
Anwar juga menyarankan golongan muda Malaysia untuk membangun daya tahan mental dan berfikiran rasional, serta tidak terpengaruh dengan naratif negatif di media sosial. Beliau berkata, generasi muda perlu menilai berita dengan bijaksana dan tidak terburu-buru menghukum.
“Kita harus memupuk generasi muda yang berpendidikan dan berfikiran kritis. Mereka harus mampu menilai dengan bijaksana tanpa terburu-buru menghukum atau terpengaruh dengan berita yang tidak benar,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa meskipun dunia semakin digital dan maju dalam teknologi, nilai, budaya, dan akidah perlu dipertahankan. Malaysia harus memperkasa hubungan dengan negara-negara ASEAN dan China untuk meningkatkan dagang dan pelaburan, memberi manfaat kepada rakyat.
“Sebagai negara pelbagai kaum dan agama, kita mesti menghargai kepelbagaian dan tidak membenarkan perpecahan disebabkan oleh persepsi negatif,” jelasnya.
Baca juga: