Kesihatan Rakyat Diutama, Dana Nasional Dicadang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani meneruskan komitmennya dalam usaha memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dengan mencadangkan penubuhan Dana Kesihatan Nasional.

Ini merupakan sebagai sebahagian daripada langkah reformasi menyeluruh ke atas sistem pembiayaan kesihatan awam.

Cadangan ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) ke-8 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi bersama enam menteri Kabinet dan pegawai tertinggi perkhidmatan awam.

Menurut Perdana Menteri, penubuhan dana ini adalah sebahagian daripada Halatuju dan Inisiatif Transformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan secara berfasa yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan.

“Kami berbincang secara tuntas tentang keperluan menstruktur semula sistem pembiayaan sedia ada agar ia lebih mampan, terangkum dan berkesan untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat juga menekankan pentingnya tadbir urus yang telus, sistem perolehan yang efisien serta pelaksanaan dasar yang berimpak tinggi.

Dalam konteks ini, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dilihat memainkan peranan penting dalam merangka mekanisme pelaksanaan yang bersesuaian dengan landskap kewangan semasa negara.

Selain isu pembiayaan kesihatan, MySPC turut meneliti Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 yang dibentangkan oleh Kementerian Ekonomi.

Rangka tindakan ini dilihat sebagai persiapan awal kerajaan dalam menangani cabaran populasi menua yang semakin ketara di Malaysia.

“Langkah-langkah awal sedang diambil, termasuk pewujudan tadbir urus rentas kementerian yang lebih menyeluruh dan bersepadu,” ujar Perdana Menteri lagi.

Penubuhan Dana Kesihatan Nasional dijangka menjadi antara teras utama dalam memastikan sistem kesihatan awam negara kekal relevan, boleh diakses, dan berdaya tahan dalam menghadapi tekanan masa depan, termasuk peningkatan kos rawatan dan perubahan demografi.

Anda Mungkin Berminat