Tak Masuk Akal Siasat Aliff Ahmad, Hanya Sebar Maklumat Awam Bukan Fitnah

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Tindakan menyiasat pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad berhubung isu ‘scrut’ yang mendedahkan latar belakang pemimpin politik utama negara dianggap tidak wajar.

Menurut Peguam Hak Asasi, Rajesh Nagarajan, hantaran yang dibuat oleh Aliff tidak mengandungi unsur fitnah atau pelanggaran di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Apa yang Aliff buat hanyalah mengambil maklumat dari portal-portal awam seperti SSM, melakukan ‘research’ dan menyusunnya dalam bentuk carta yang menarik.

“Adakah maklumat itu tidak boleh diketahui rakyat? Tidak. Ia memang maklumat yang tersedia untuk orang ramai,” katanya kepada Malaysia Bangkit ketika dihubungi.

Rajesh berkata, maklumat yang didedahkan oleh Aliff bukanlah palsu, jelik, mengancam atau sumbang seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Ini maklumat awam, jadi apa yang jelik sangat? Ia adalah kebenaran. Jika ia benar, apa masalahnya?” soal beliau.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) turut berkata, bahawa jika Aliff didapati bersalah atas penyebaran kandungan tersebut, dia boleh didenda hingga RM1 juta atau dipenjarakan selama setahun.

“Sebelum menuduh, mereka perlu ada bukti bahawa maklumat yang dikongsi oleh Aliff bersifat jelik, sumbang, palsu atau mengancam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rajesh menyeru pihak berkuasa agar tidak mengekang kebebasan bersuara rakyat.

“Setiap individu ada hak untuk menyatakan pendapatnya. Jika kerajaan tidak gembira dengan kenyataan mereka, itu bukan alasan untuk menyekat kebebasan bersuara,” katanya.

Terdahulu, Aliff hadir di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memberikan keterangan berhubung semakan latar belakang terhadap Nurul Izzah Anwar.

Untuk rekod, Aliff pernah melakukan semakan terhadap beberapa tokoh politik utama negara tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Anda Mungkin Berminat