Fahmi nafi dakwaan nepotisme, anggap Nurul Izzah layak

PUTRAJAYA: Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dakwaan wujudnya amalan nepotisme dalam parti itu tidak berasas susulan cadangan agar Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

Menurut Fahmi, pencalonan Nurul Izzah perlu dilihat dalam konteks peranannya kini sebagai Naib Presiden PKR serta pengiktirafan akar umbi terhadap pengalamannya dalam perjuangan parti.

“Tidak benar (dakwaan wujud nepotisme). Keadilan meraikan demokrasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk memilih pemimpin yang mereka yakini mampu membawa aspirasi parti bagi penggal 2025-2028,” katanya.

Sebelum ini, PKR Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan penuh terhadap Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Ketua Cabang PKR kawasan itu berkata, keyakinan terhadap Nurul Izzah berpaksikan kepada sumbangan dan pengaruhnya dalam menggerakkan parti, selain dianggap mampu memberikan nafas baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Gelaran Puteri Reformasi itu bukan sekadar simbolik. Ia lahir daripada perjuangan panjang beliau dalam parti dan kemampuannya berdiri sendiri sebagai pemimpin yang berpengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menerusi kenyataan hari ini berkata, beliau akan mempertimbangkan sebaiknya cadangan daripada akar umbi serta pimpinan parti, dengan mengambil kira kepentingan penyatuan dan persefahaman dalam PKR.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat