PETALING JAYA: Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim menyuarakan sokongan penuh kepada Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR (KEADILAN).
Menurutnya, Nurul Izzah adalah tokoh yang paling layak meneruskan obor perjuangan parti yang telah melalui pelbagai fasa kematangan.
“KEADILAN sebagai wadah perjuangan telah diuji dengan mehnah dan cabaran. Kita perlukan pemimpin yang mampu menjambatani idealisme dengan realiti politik semasa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kuasa dalam politik bukan sekadar rebutan, tetapi perlu diterjemahkan demi kepentingan rakyat.
“Yang utama ialah bagaimana kuasa itu dimanfaatkan untuk rakyat, bukan semata-mata untuk berkuasa,” ujarnya.
Kamil turut menyifatkan Nurul Izzah sebagai figura berkarisma yang menjadi inspirasi kepada pimpinan dan anggota parti.
“Ketokohan beliau teruji sejak awal gerakan Reformasi. Saya yakin beliau calon terbaik untuk Timbalan Presiden KEADILAN,” katanya lagi.
Baca juga: