PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memberi bayangan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang akan datang.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, keputusan yang bakal diambil harus mempertimbangkan keperluan menyatukan dan memperkukuh hubungan sesama anggota parti sambil membawa perubahan bermakna demi memastikan PKR kekal relevan dan diyakini rakyat Malaysia.
“Setulusnya, saya menghormati lagi menghargai pandangan akar umbi untuk saya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden KEADILAN,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.
Sokongan terhadap Nurul Izzah semakin meningkat dengan beberapa pemimpin PKR dari pelbagai negeri menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonannya.
Malah, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim turut menyatakan bahawa pencalonan Nurul Izzah adalah langkah strategik untuk memperkukuh kepimpinan masa depan parti.
Dalam kenyataan yang sama, Nurul Izzah menegaskan bahawa keputusan yang bakal dibuat bukan sekadar untuk individu tetapi demi masa depan PKR secara bersama.
“Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu tetapi demi usaha membina masa depan PKR secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah,” katanya.
Pemilihan PKR dijadualkan berlangsung pada 23 Mei dan dengan semakin ramai pemimpin parti menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden yang dijangka menjadi lebih menarik dan kompetitif.