PETALING JAYA: PKR Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi penggal 2025–2028.
Dalam satu kenyataan rasmi, kepimpinan wilayah menyifatkan Nurul Izzah sebagai tokoh reformasi yang telah terbukti komited dan berwibawa dalam meneruskan perjuangan parti, bukan sekadar kerana latar belakangnya, tetapi atas keupayaan serta integriti sebagai pemimpin masa depan.
“Gelaran Puteri Reformasi bukan hanya simbolik, tetapi mencerminkan perjalanan panjang beliau yang berdiri atas kaki sendiri dalam menempuh segala cabaran politik demi memperjuangkan prinsip keadilan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
PKR Wilayah juga memuji peranan aktif Nurul Izzah dalam menyatukan jentera parti menerusi inisiatif Ayuh Malaysia, yang dianggap berjaya menyuntik semangat baru dalam kalangan akar umbi serta memperkukuh perpaduan dalaman sehingga membawa kepada kemenangan dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.
Dalam konteks landskap politik semasa yang semakin mencabar, kepimpinan Wilayah Persekutuan berpandangan bahawa parti memerlukan pemimpin yang mampu mengukuhkan hubungan dengan rakan-rakan gabungan serta menyatukan saf dalaman parti menjelang PRU ke-16.
“Pencalonan ini adalah satu langkah berani ke hadapan. Nurul Izzah bukan sahaja memiliki ketokohan, tetapi juga kemahiran diplomasi yang tinggi untuk memperkukuh KEADILAN sebagai peneraju perubahan di Malaysia,” ujar kenyataan itu lagi.
Baca juga: