Rafizi seloroh sempat daftar pencalonan selepas dua kad kredit ditolak

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkongsi pengalaman lucu semasa proses pendaftaran pencalonannya untuk pemilihan parti kali ini.

Dalam satu hantaran di media sosial, Rafizi mendedahkan bagaimana beliau terpaksa berhadapan dengan beberapa kesulitan teknikal ketika cuba untuk membuat pembayaran yuran pencalonan.

“Setelah dua kad kredit kena reject (ditolak), satu kad debit reject, bank akaun exceed limit (melebihi had), akhirnya berjaya bayar yuran pencalonan,” ujar Rafizi dengan nada santai, disertai dengan emoji ketawa di platform X selepas mengesahkan pencalonannya pada Jumaat.

Walaupun menghadapi cabaran tersebut, Rafizi akhirnya berjaya mendaftar sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi pemilihan yang akan datang.

“Saya baru sahaja selesai mendaftar sebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN bagi pemilihan ini,” tulisnya sambil melampirkan gambar senarai calon-calon bertanding termasuk Nurul Izzah Anwar.

Sebelum ini, Rafizi menyatakan kesediaannya mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2022 dan menyambut baik persaingan sihat dalam semangat demokrasi dalaman parti.

Tempoh pencalonan bagi semua jawatan pimpinan pusat ini akan dibuka hingga tengah malam hari ini, dengan proses pengundian pula akan berlangsung pada 23 Mei ini, sempena Kongres Keadilan Nasional 2025 di Johor Bahru.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat