PETALING JAYA: Bagi tempoh lima tahun iaitu 2020 hingga 2024, sebanyak 11,139 maklumat berunsur rasuah melibatkan penjawat awam telah diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 2,208 tangkapan telah dibuat dengan 1,070 telah dituduh dan 493 disabitkan kesalahan.
“Ia dilakukan hasil pembukaan 725 kertas risikan, 3,765 kertas penyiasatan awam dan 2,265 kertas siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan penjawat awam dalam tempoh sama,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar yang meminta Perdana Menteri menyatakan keberkesanan dasar antirasuah dalam perkhidmatan awam, termasuk statistik terkini mengenai siasatan SPRM.
Pada masa sama, Azalina berkata, 81 pegawai SPRM ditempatkan di Unit Integriti Awam (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU) di Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) sehingga 31 Disember lalu.
Katanya, SPRM turut melucut hak RM140 juta nilai aset tahun lalu, melalui proses siasatan, pendakwaan dan tindakan undang-undang berkesan.
Baca juga: