PETALING JAYA: Kerajaan telah berjaya menyelamatkan dan menghantar pulang seramai 271 rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket ‘job scam’ atau penipuan pekerjaan, setakat 21 Januari ini.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohammad Hassan berkata, daripada jumlah itu, 114 orang diselamatkan dari Myanmar dan 157 orang dari Thailand.
Beliau berkata, kerajaan melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia di Myanmar dan Thailand sedang mengesan keberadaan 140 rakyat Malaysia di Myanmar dan 14 lagi di Thailand dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan secara proaktif.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat di kalangan rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket tersebut tidak berhasrat untuk pulang ke tanah air kerana sudah memegang jawatan tinggi.
“Ingin saya terangkan bahawa terdapat kemungkinan di mana ada di kalangan mereka yang tidak berhasrat untuk pulang ke Malaysia kerana mereka telah memegang jawatan tinggi dalam sindiket penipuan seperti pengurus.
“Turut ada kemungkinan di mana individu yang dilaporkan hilang oleh waris sebelum ini telah pulang ke Malaysia tanpa memaklumkan kepada pihak Kementerian atau PDRM,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai jumlah rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar dan Thailand akibat sindiket penipuan pekerjaan termasuk statistik mengikut negeri dan sama ada kerajaan akan mengeluarkan amaran pelancongan rasmi ke negara terbabit.
Sementara itu, katanya lagi, rakyat Malaysia dari negeri Johor mencatatkan jumlah paling ramai terbabit isu ‘job scam’ apabila mewakili 19 peratus, diikuti Selangor (13 peratus), Sarawak (12 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12 peratus) dan Perak (11 peratus).
Manakala, Pulau Pinang (sembilan peratus), Sabah (enam peratus), Negeri Sembilan (lima peratus), Kedah dan Pahang masing-masing tiga peratus, Melaka (dua peratus), Kelantan dan Terengganu masing-masing satu peratus dan Perlis 0.2 peratus.