LANGKAWI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menolak kemasukan 29 warganegara Pakistan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Kumpulan yang terdiri daripada 28 lelaki dan seorang wanita tersebut dikatakan tiba untuk menyertai Tuba Cross Country Run di Pulau Tuba pada Sabtu.
Namun, niat mereka menimbulkan keraguan apabila didapati hanya membawa kurta (pakaian tradisional Pakistan) dan tanpa kelengkapan sukan seperti pakaian dan kasut yang sesuai untuk acara tersebut.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain tidak menolak dakwaa bahawa ia adalah strategi untuk menyembunyikan motif sebenar mereka untuk memasuki negara ini.
“Adakah ini strategi untuk menyembunyikan motif sebenar mereka? Mengapa mereka tidak membawa pakaian yang bersesuaian?” soalnya dalam kenyataan.
Lebih mencurigakan, kumpulan tersebut membelanjakan hampir RM2,000 untuk kos penerbangan, namun yuran penyertaan acara larian itu hanya RM45 dengan hadiah utama sebanyak RM300.
Selain itu, mereka menempah bilik hotel bajet di Langkawi dan merancang untuk pulang ke Dubai sehari selepas acara, yang dianggap luar biasa kerana kebanyakan pelancong biasanya mengambil masa untuk melancong selepas menyertai acara di Langkawi.
Imigresen turut mengesahkan tiada peserta asing lain yang mendaftar untuk acara tersebut.
Atas faktor-faktor mencurigakan tersebut, kumpulan berkenaan ditolak masuk ke dalam negara di bawah Seksyen 8(3)(c) Akta Imigresen.
Kesemua mereka telah dihantar pulang ke negara asal selepas diberi notis penolakan masuk.








