3 warga asing ceroboh sempadan negara ditahan – TDM

Helah tiga Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar cuba menceroboh masuk ke Malaysia berjaya dihidu dan dikesan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) di sempadan Malaysia – Thailand pada Isnin.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Divisyen) menerusi satu kenyataan memaklumkan, tangkapan tersebut berlaku di sektor kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

Menurutnya, pasukan TDM telah mengesan dan menahan suspek yang cuba menyeberangi Sungai Golok dari arah Thailand menggunakan sampan di sempadan negara kira-kira pukul 8.00 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tiga orang awam tersebut merupakan PATI warganegara Myanmar berumur antara 28 hingga 39 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba masuk ke Malaysia secara haram untuk mencari peluang pekerjaan.

“Turut dirampas adalah dua buah telefon bimbit dan wang dalam mata wang negara Malaysia, Myanmar dan Nepal dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1,062.71.

“Seterusnya, PATI yang ditahan beserta barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Justeru, pasukan TDM akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat