3 Saintis Wanita Muda Dipilih Sertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau di Jerman

PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi mencipta sejarah di persada antarabangsa, apabila tiga saintis muda negara bakal menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 di Jerman, dari 29 Jun hingga 4 Julai ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat tahunan yang memfokuskan kepada bidang kimia itu bakal menghimpunkan 35 Penerima Hadiah Nobel dan lebih 600 saintis muda dari 84 negara.

“Mereka yang terpilih ialah Nur Diyan Mohd Ridzuan, pelajar PhD Kimia Gunaan dari Universiti Teknologi Petronas, Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia dan Dr Mak Kit Kay, pensyarah di Universiti Perubatan Antarabangsa.

Menurut MOSTI, acara itu menyediakan peluang luar biasa bagi peserta.

“Mesyuarat tahunan ini memberi fokus kepada sesuatu disiplin secara bergilir-gilir dan berperanan sebagai platform unik bagi saintis muda yang berpotensi untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai,” katanya.

MOSTI menyifatkan penyertaan Malaysia sebagai bukti keupayaan bakat tempatan kita bersaing di pentas antarabangsa.

“… dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Untuk rekod, sejak 2004, ASM telah mencalonkan 89 saintis Malaysia ke mesyuarat itu.

Anda Mungkin Berminat