310 Bas Diesel Baharu, ‘Rapid Bus’ Perhebat Perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Sistem pengangkutan awam negara bakal menerima suntikan tenaga baharu apabila Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, menyambut kumpulan akhir 310 unit bas diesel baharu di bawah program penggantian bas.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Amir Hamdan berkata, ianya satu langkah penting ke arah memperkukuh jaringan bas di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Katanya, bas-bas berkenaan akan mula beroperasi secara berperingkat bermula penghujung Julai 2025 sehingga suku pertama tahun 2026 bagi menggantikan model-model lama yang tidak lagi mampu menampung pelan operasi semasa.

“Penerimaan bas kumpulan akhir ini adalah sebahagian daripada pelan peralihan strategik kami untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan selamat.

“Walaupun kami sedang merancang peralihan ke bas elektrik pada masa hadapan, bas diesel ini amat diperlukan untuk menampung keperluan operasi yang sedia ada,” katanya.

Tambahnya, pelan transformasi itu bukan sekadar menjamin kelancaran operasi semasa tetapi juga meningkatkan pengalaman pengguna, sambil memperkukuh komitmen jangka panjang terhadap kelestarian melalui pengenalan bas elektrik mulai tahun 2026.

Untuk info, berukuran 12 meter dan berkapasiti sehingga 60 penumpang, bas diesel baharu ini disasarkan untuk meningkatkan kesalinghubungan di kawasan berpenduduk tinggi seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Rapid Bus turut merancang pengenalan bas bersaiz 8.9 meter pada suku ketiga 2025 bagi meluaskan akses ke kawasan kediaman padat yang sukar dimasuki bas bersaiz besar.

Malah Amir Hamdan berkata, kesemua bas baharu dilengkapi piawaian pelepasan Euro 5, iaitu standard antarabangsa untuk kawalan pencemaran bagi mengurangkan pelepasan karbon dan gas nitrogen oksida (NOx), sekali gus menyumbang kepada persekitaran bandar yang lebih bersih dan sihat.

Menjelang 2026, Rapid Bus bersedia memperkenalkan bas elektrik sebagai sebahagian daripada visi jangka panjangnya.

Fasiliti pengecasan dan latihan teknikal kini giat disediakan bagi menyokong peralihan ini secara menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat