Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Satu himpunan aman dijadualkan di ibu negara Sabtu ini bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook pendakwan bebas, Zamri Vinooth, himpunan berkenaan dianjurkan oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) disertai 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan bakal diadakan bermula 8 malam di hadapan pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Penyelaras GARAH, berkata, penganjuran himpunan itu bertujuan membuka mata pihak berkuasa, kerajaan serta masyarakat umum mengenai peningkatan jumlah rumah anutan haram yang didakwa berlaku dari masa ke semasa tanpa tindakan berkesan.
Menurutnya, antara tuntutan utama yang akan diketengahkan adalah gesaan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas, termasuk membawa individu atau pihak yang terlibat ke muka pengadilan.
“Kami turut menjemput wakil rakyat dan pemimpin politik, sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang, untuk hadir mendengar sendiri keluhan rakyat berhubung isu ini.
“Malah, ahli politik yang hadir juga akan diberikan ruang untuk berucap dan berkongsi pandangan serta cadangan penyelesaian terhadap masalah rumah anutan haram,” katanya.
Zamri turut memaklumkan bahawa surat notis serta pemakluman penganjuran perhimpunan aman itu telah disediakan dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat.
Katanya, penganjuran himpunan tersebut akan dilaksanakan secara aman, tertib dan mematuhi semua peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak penganjur akan memastikan semua peserta mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak menimbulkan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam,” jelasnya.
Baca juga:








