GAZA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang membawa harapan dan bantuan ke Gaza berakhir dengan penahanan apabila tentera laut Israel memintas konvoi tersebut di perairan antarabangsa dan menahan seramai 317 aktivis dari pelbagai negara.
Menurut laporan agensi berita Turkiye, Anadolu Ajansi, kesemua aktivis yang menaiki 21 buah kapal kini berada di bawah tahanan pihak berkuasa Israel dan sedang menjalani proses deportasi ke negara asal masing-masing di Eropah.
Mereka telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod, selatan Israel, di mana proses dokumentasi dan penghantaran pulang sedang dijalankan.
Antara aktivis yang ditahan termasuk warganegara dari Malaysia, Turkiye, Sepanyol, Itali, Brazil, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, United Kingdom dan Perancis.
Difahamkan, antara tokoh yang menyertai flotilla tersebut ialah Greta Thunberg, aktivis iklim dari Sweden, dan Thiago Ávila, aktivis sosial dari Brazil.
Penahanan ini mencetuskan kecaman meluas dari komuniti global yang menyifatkan tindakan Israel sebagai satu bentuk penindasan terhadap usaha kemanusiaan.
Di Malaysia, ribuan rakyat telah turun ke jalanan dalam Himpunan Sumud Flotilla menuju ke Kedutaan AS sebagai tanda solidariti dan bantahan terhadap tindakan tersebut.







