39 Pusat NADI Dilancar Di Pulau Pinang, Panel Penasihat Ditubuh – MCMC

GEORGETOWN: Usaha memperkukuh penyebaran maklumat sahih di peringkat akar umbi kini melangkah ke fasa baharu apabila Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan 39 Pusat Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negeri Pulau Pinang di bawah inisiatif ‘1 DUN 1 NADI’.

Majlis pelancaran yang berlangsung hari ini turut menyaksikan penyampaian surat pelantikan kepada 13 Pengerusi Panel Penasihat NADI, yang terdiri daripada pemimpin komuniti dan wakil agensi tempatan.

MCMC berkata, sebanyak 39 buah NADI baharu telah dibangunkan selain tiga NADI sedia ada, menjadikan keseluruhannya 42 buah NADI di seluruh negeri.

“Hingga Mei 2025, NADI Pulau Pinang telah berjaya menarik seramai 10,827 ahli serta mencatatkan 17,743 penyertaan dalam pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar.

“Angka ini menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat negeri ini terhadap usaha kerajaan melalui NADI,” katanya.

MCMC berkata, program itu turut dimeriahkan dengan Hari Bersama Komuniti (HBK).

“Ia menghimpunkan pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar, pameran dan jualan usahawan NADI, pertandingan NADI e-Sukan MADANI Legend serta kerjasama agensi kerajaan.

“Inisiatif ini mencerminkan peranan NADI sebagai hab perpaduan digital dan sosial di peringkat akar umbi,” katanya.

Untuk info, pusat-pusat NADI akan berfungsi sebagai hab maklumat yang menyediakan akses kepada berita yang telah disahkan serta menjadi saluran untuk menyampaikan dasar-dasar kerajaan secara lebih inklusif dan mudah difahami.

Anda Mungkin Berminat