Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3P Muzik Malaysia) menyatakan sokongan penuh terhadap Garis Panduan Hak Cipta: Organisasi Pengurusan Kolektif yang diterbitkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) pada 17 Januari.
Presiden 3P Muzik Malaysia, Aris Ariwatan menyifatkan garis panduan itu sebagai langkah penting dalam memperbaiki tatakelola, transparensi dan pertanggungjawaban organisasi pengurusan kolektif yang bertanggungjawab memungut serta mengagihkan royalti kepada pemegang hak cipta muzik.

“Garis panduan ini adalah satu penawar mujarab yang dapat memperbaiki ketidakadilan yang dihadapi oleh penggiat muzik tanah air dalam sistem kutipan royalti,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
MYIPO dikatakan telah mengambil kira pandangan dan pengalaman para penggiat muzik menerusi siri bengkel, seminar, dan sesi libat urus sejak 28 Februari 2023.
Antara sesi perbincangan utama termasuk sesi libat urus Hak Cipta Industri Muzik pada 29 Ogos 2023 dan Bengkel Royalti serta Hak Cipta Industri Muzik pada Disember 2023 yang melibatkan wakil dari organisasi pengurusan kolektif seperti Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP), Public Performance Malaysia Berhad (PPM), Music Rights Sabah (MRS) dan Music Rights Sarawak Berhad (MRSB).
Menurut 3P Muzik lagi, garis panduan ini juga akan membantu mengharmonikan hubungan antara penggiat muzik dan pengguna karya muzik, mengelakkan ketidaktelusan dan salah laku dalam organisasi pengurusan kolektif.
“Hubungan simbiotik antara pengguna karya muzik dan penggiat muzik perlu diraikan bersama supaya industri terus berkembang dengan harmoni,” katanya lagi.
Badan itu turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam memastikan garis panduan dilaksana dengan berkesan di bawah Seksyen 27M Akta Hak Cipta Malaysia.
“Kami menyokong sepenuhnya usaha ini demi keadilan dan keharmonian industri muzik tanah air,” tegas kenyataan berkenaan.
Baca juga:








