KUALA LUMPUR: Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dinanti-nantikan ribuan peminat berlangsung penuh meriah, namun sedikit tercalar apabila berlaku gangguan sistem bunyi di tingkat tiga stadium.
Pihak penganjur, iaitu Hitman Solutions, Rockqueen dan Digital Aid Sdn. Bhd., mengakui insiden tersebut dan segera mengambil langkah siasatan bersama pihak stadium, pengurusan Ella serta vendor teknikal.
Mesyuarat teknikal khas telah diadakan pada 16 Februari 2026 bagi mengenal pasti punca masalah.
Menurut kenyataan rasmi, gangguan berlaku apabila sistem kawalan bunyi di bilik SRS didapati telah berubah kepada tetapan ‘default’ berbanding konfigurasi asal yang ditetapkan semasa sesi raptai.
“Walau bagaimanapun, pihak teknikal telah berjaya menyelesaikan isu ini sekitar pukul 9:50 malam,” jelas kenyataan itu.
Penganjur menegaskan mereka memandang serius perkara ini dan telah membuat laporan polis pada 16 Februari 2026 pukul 5:26 petang.
“Kami memohon maaf di atas kejadian yang berlaku dan pihak penganjur sedang berbincang bagi memberikan imbuhan bersesuaian kepada penonton yang terkesan sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf,” tambah kenyataan tersebut.








