Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Empat anggota polis ditahan kerana disyaki mencuri barang kemas milik seorang wanita warga tempatan yang dilaporkan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kecurian barang kemas tersebut daripada bapa mangsa pada 8 Oktober.
“Kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kertas enquiry polis (KEP), bagaimanapun setelah beberapa keterangan diperoleh, polis mengklasifikasikannya semula kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Susulan siasatan terbabit, tangkapan kemudian dijalankan melibatkan terhadap empat suspek yang merupakan anggota polis di sekitar Setapak,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kesemua suspek terlibat berumur antara 28 hingga 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Rampasan turut dilakukan melibatkan sekeping resit dan satu logam berwarna kekuningan dengan anggaran berat 11.52 gram.
“Kesemua suspek kini direman tiga hari setelah permohonan reman dibuat dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki mendakwa barang kemas yang dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak pada 1 Oktober lalu hilang.
Menurutnya, berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai serta gelang emas dipakai anaknya sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.