43 Individu Ditahan, Sindiket ‘Call Center’ Tumpas Di Selangor

SHAH ALAM: Polis Selangor terus memperkukuh usaha membanteras jenayah siber apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor berjaya menumpaskan beberapa sindiket penipuan atas talian dan ‘call center’ dalam siri serbuan di Shah Alam dan Sepang.

Dalam sidang media di Mes Pegawai, IPK Selangor pagi tadi, Ketua Polis Selangor, CP Datuk Shazeli Kahar mendedahkan hasil operasi yang membawa kepada tangkapan besar serta rampasan bernilai ratusan ribu ringgit.

“Polis berjaya menahan 43 individu serta merampas pelbagai peralatan dan kenderaan dengan nilai keseluruhan RM201,000,” katanya.

Menurutnya, serbuan di Shah Alam
Pada 19 Mei 2026, sekitar pukul3.30 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Shah Alam bersama Balai Polis Seksyen 6 menyerbu sebuah rumah di Setia Alam.

Serbuan itu menahan 14 lelaki iaitu seorang warga tempatan dan 13 warga asing berusia 19 hingga 41 tahun kerana terlibat dalam sindiket penipuan tawaran kerja sambilan.

Polis turut merampas 20 telefon bimbit, 12 set komputer, dua motokar dan satu router WiFi dengan nilai keseluruhan RM132,000.

Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak Februari 2026 dengan menyasarkan warganegara Iraq melalui aplikasi WhatsApp, Telegram dan laman web.

Serbuan di Sepang
Dalam operasi kedua, polis melaksanakan tiga serbuan berasingan di Bandar 16 Sierra, Puchong antara 19 hingga 20 Mei 2026.

Seramai 29 warga asing ditahan kerana terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan serta pengumpulan maklumat kewangan hasil aktiviti penipuan.

Rampasan melibatkan pelbagai peralatan komunikasi dan komputer dengan nilai keseluruhan RM69,000.

Sindiket itu dipercayai menyasarkan mangsa dari Peru dan China melalui aplikasi Telegram, Douyin serta platform atas talian lain.

Ketua Polis Selangor turut menegaskan bahawa masyarakat perlu lebih berwaspada terhadap tawaran pekerjaan dan pelaburan atas talian yang mencurigakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pekerjaan dan pelaburan atas talian yang mencurigakan serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan aktiviti penipuan ‘call center’ di kawasan kediaman atau pusat perniagaan,” katanya.

Sidang media turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan, Ketua JSJK Selangor, SAC Mohamad Rosni Mohamed Lazim, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay anak Embol, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman serta pegawai kanan dan rendah JSJK Selangor bersama rakan-rakan media.

Anda Mungkin Berminat