KUALA LUMPUR: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kejayaan membawa kepada keputusan mahkamah dalam kes rasuah melibatkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib.
Mahkamah Khas Rasuah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 96 tahun serta denda RM284.3 juta terhadap tertuduh atas kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM45 juta.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim menyifatkan kejayaan pendakwaan itu sebagai hasil ketekunan dan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan kes berprofil tinggi tersebut dapat diselesaikan walaupun mengambil masa hampir sedekad.
Dalam kenyataan sama, MCW turut menegaskan bahawa kes ini menjadi bukti jelas bahawa penguatkuasaan undang-undang tetap berjalan tanpa mengira kedudukan individu terlibat.
“Tiada sesiapa berada di atas undang-undang, walaupun memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
MCW berkata, siasatan awal pada tahun 2016 yang menemukan wang tunai dalam jumlah besar serta rampasan aset mewah membuktikan skala serius salah guna kuasa yang berlaku,” katanya.

Menurut MCW lagi, kejayaan kes ini menunjukkan pentingnya ketegasan berterusan dalam usaha memerangi rasuah.
“Keputusan ini menjadi mesej jelas bahawa pengkhianatan terhadap amanah rakyat tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, MCW menegaskan bahawa reformasi tadbir urus dan pengukuhan integriti perlu terus diperkasa bagi mengelakkan kes seumpama itu berulang.
Baca juga:








