KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pemantauan bulanan terhadap semua projek asas melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya di Sabah bermula Januari 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pelaksanaan dipercepatkan serta mengelak kelewatan yang sering membelenggu projek pembangunan di negeri itu.
Beliau berkata, pemantauan tersebut akan dilakukan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, merangkumi projek persekutuan serta projek negeri yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Saya telah mencadangkan kepada Unit Penyelarasan di Jabatan Perdana Menteri supaya mulai Januari ini, semua projek air, elektrik dan jalan dipantau setiap bulan bagi melihat kemajuan, mengenal pasti punca kelewatan dan segera mengambil tindakan,” katanya semasa berucap di Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah.
Anwar berkata, kerajaan tidak mahu rakyat hanya mendengar tentang kelulusan peruntukan tanpa melihat hasil di lapangan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan isu bekalan asas.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan memberi jaminan tiada penangguhan kelulusan projek, malah peruntukan akan disalurkan lebih awal bagi membolehkan perancangan rapi serta pelaksanaan segera.
“Kalau dulu peruntukan disalurkan pada April, kini dana diluluskan seawal Januari supaya projek boleh terus berjalan tanpa alasan kelewatan,” katanya.
Beliau turut menekankan penubuhan jawatankuasa bersama membabitkan pegawai persekutuan dan negeri bagi memantau ratusan projek agar pelaksanaan lebih pantas berbanding sebelum ini.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan Sabah tidak dipinggirkan, sambil menolak tanggapan bahawa Kerajaan Persekutuan lambat bertindak dalam melaksanakan janji kepada rakyat negeri itu.







