46 Mangsa Pendawaian Haram, Curi Identiti Hadapi Tuntutan TNB Hampir RM8 Juta

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seramai 46 individu dari Lembah Klang, Johor dan Seremban meminta bantuan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung selepas menerima tuntutan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melebihi RM8.5 juta.

Chean Chung berkata, caj tersebut dikenakan kerana mereka menjadi mangsa kepada pendawaian haram dan kes curi identiti yang digunakan untuk mendaftar akaun TNB.

“Dua kumpulan mangsa dikenal pasti, iaitu mereka yang identiti penyewa rumah disalahgunakan. Di mana mereka menjadi pemilik unit lain secara tidak sah dan dikenakan tuntutan bayaran elektrik.

“Kedua, yang hartanahnya dijadikan pusat aktiviti Bitcoin secara haram. Akibatnya mereka menjadi ‘kambing hitam’ dan terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya pada Jumaat.

Setakat ini, katanya, Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya telah menerima aduan pampasan antara RM20,000 hingga RM1.15 juta.

Namun, katanya lagi, TNB hanya menyerahkan surat perundangan supaya bil tertunggak dijelaskan dalam tempoh masa ditetapkan tanpa memberi jalan penyelesaian yang memadai.

Chean Chung turut menggesa TNB mengambil tindakan lebih tegas dan mencadangkan pindaan kepada Akta Pembekalan Elektrik 1990 bagi melindungi hak mangsa.

“TNB dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu memperketatkan penguatkuasaan dan melaksanakan sistem ‘Kenali Pelanggan Anda’ (KYC) bagi mengelakkan identiti disalahgunakan,” ujarnya.

Menurut seorang mangsa, dikenali sebagai Loo, 35, dari Klang Lama, beliau menerima notis tuntutan sebanyak RM196,000 daripada TNB selepas identitinya disalahgunakan.

“Sekarang ini prosedur mahkamah sedang dijalankan,” katanya ringkas kepada Malaysia Bangkit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat