KUALA LUMPUR: Istilah “academia” merangkumi institusi, sistem, tadbir urus serta ekosistem pendidikan tinggi secara menyeluruh, bukan sekadar pensyarah atau penyelidik, kata bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Beliau menjelaskan kekeliruan beberapa pihak berhubung komennya di media sosial tentang isu geran penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) yang dilaporkan tidak dipulangkan seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Menurutnya, kapsyen dimuat naik mempersoalkan “What has gone wrong with our academia?” merujuk kepada keseluruhan sistem akademia dan bukannya menuding jari kepada individu ahli akademik.
“Isu ini berkait rapat dengan sistem pengurusan geran, pemusatan kuasa di peringkat kementerian serta kurangnya pemberdayaan komuniti akademik,” katanya di Facebook pada Khamis.
Maszlee menjelaskan, kebanyakan pensyarah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu memohon geran daripada KPT, namun pengurusan kewangan dikendalikan pihak universiti dengan tatacara yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan dana.
Beliau turut mendedahkan ramai ahli akademik lebih cenderung mendapatkan geran daripada pihak luar seperti industri, kementerian atau universiti luar negara yang lebih fleksibel.
“Sebelum nak membuat tuduhan melulu, seperkara yang kita perlu tahu, tempoh saya di KPM hanya 20 bulan sahaja. Tempoh yang terlalu singkat untuk perubahan struktural.
“Bagaimanapun, Itulah sebahagian dari apa yang saya cuba lakukan dahulu. Perubahan itu perlu berlaku dalam bentuk perubahan sistem governans secara menyeluruh yang melibatkan penggubalan akta baharu yang lebih bersepadu untuk memandu pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta bersekali.
“Ia renyah, perlukan waktu dan perlukan penglibatan ramai pihak pemegang taruh agar perubahannya nanti tidak bersikap piecemeal, separuh masak, atau after thoughts dan knee jerk reaction,” katanya panjang lebar.

Sehubungan itu, beliau menggesa perbincangan lebih matang dan menyeluruh mengenai reformasi tadbir urus akademia demi memastikan perubahan sistemik benar-benar dapat dilaksanakan pada masa depan.
Terdahulu, Jabatan Audit Negara Malaysia mendedahkan sehingga 30 Jun 2025, baki geran penyelidikan berjumlah RM183.11 juta di empat kementerian masih belum dipulangkan, membabitkan 7,904 projek.
Kementerian terlibat ialah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM).
Baca juga:








