Malaysia Anjur Mesyuarat Khas ASEAN Isu Kemboja–Thailand Di KL Esok

PUTRAJAYA: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN berhubung situasi antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur pada 22 Disember 2025 (Isnin).

Mesyuarat khas itu diadakan susulan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu, sebagai usaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan menghimpunkan Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, mesyuarat itu akan menjadi wadah membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil ASEAN bagi menyokong usaha menghentikan permusuhan serta memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

“Mesyuarat ini mencerminkan komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN serta pematuhan kepada prinsip Kepusatan ASEAN dalam menangani isu keselamatan serantau,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menegaskan komitmennya untuk memainkan peranan konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN dan prinsip undang-undang antarabangsa.

Usaha tersebut bertujuan membantu Kemboja dan Thailand menjunjung hubungan kejiranan yang baik serta kewujudan bersama secara aman melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala.

Untuk info, penganjuran mesyuarat khas ini adalah selaras dengan Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang menjadi asas penyelesaian pertikaian secara aman dalam kalangan negara anggota.

Anda Mungkin Berminat