6 lelaki ditahan, polis rampas hampir 1,160 gram dadah

Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak telah menahan enam orang lelaki warga tempatan berumur 19 tahun hingga 58 tahun di pondok sebuah rumah di kawasan Kampung Sungai Rokam, Ipo, Perak pada 17 Mei 2024.

Selain itu, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal bulan April 2024 dan mengedar dadah di pasaran tempatan sekitar Ipoh, Perak.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Polis Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, hasil pemeriksaan terhadap semua suspek, pihak polis menjumpai tiga jenis dadah yang disimpan.

“Pihak polis menjumpai dua gulungan mampat plastik lutsinar dan satu peket plastik lutsinar berisi ceraian tumbuhan kering disyaki dadah jenis cannabis seberat 36.85 gram.

“Manakala, pemeriksaan selanjutnya di rumah salah seorang suspek telah menjumpai 43 gulungan mampat plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis cannabis seberat 1,120.00 gram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak RM 4,600.00 dan dianggarkan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih kurang 1,000 orang penagih dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek direman selama 6 hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya 1988 dengan sitaan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dengan anggaran nilai keseluruhan jumlah sitaan sebanyak RM8,000.00.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat