68 peratus warga KDN mahir guna AI – Menteri

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) tidak bertujuan menggantikan manusia, sebaliknya berfungsi sebagai alat sokongan untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kesilapan.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap AI mengambil alih peranan manusia adalah tidak tepat kerana hakikatnya, mereka yang menguasai teknologi ini akan lebih berdaya saing berbanding yang tidak menguasai.

“Kita tidak perlu risau tentang AI menggantikan manusia. Realitinya, manusia yang mahir AI akan menggantikan mereka yang tidak menguasainya,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Bermula Januari 2025, KDN telah melaksanakan inisiatif AI dengan fokus utama kepada penyelesaian masalah rakyat melalui penggunaan teknologi pintar dalam urusan pentadbiran.

Setakat ini, sebanyak 68 peratus warga kerja KDN telah mahir menggunakan AI dan disifatkan sebagai langkah ke hadapan bagi memastikan perkhidmatan lebih efisien, telus dan berimpak tinggi.

“Alhamdulillah, usaha ini memperlihatkan hasil yang positif. Inilah antara transformasi penting bagi memastikan KDN kekal relevan dan mendahului cabaran baharu,” tambah beliau.

Inisiatif AI KDN juga dilihat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip keberdayaan, kesejahteraan dan ihsan dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat