Sekolah di Finland sudah jadi ‘hutan’, Malaysia bila lagi

Oleh: Dr Zamir Mohyedin

ULASAN | Saintis di Finland menjalankan satu eksperimen yang mana mereka menukar halaman tadika yang asalnya berbatu kerikil kepada tanah hutan sebenar, lengkap dengan rumput dan blok tanah gambut. 

Selepas hanya sebulan kanak-kanak bermain di situ, ujian darah menunjukkan perubahan yang luar biasa. 

Kepelbagaian bakteria pada kulit mereka meningkat, dan sel imun yang berfungsi untuk menenangkan badan daripada reaksi alahan (macam debunga atau kacang) bertambah dengan ketara. 

Sebaliknya, kanak-kanak yang kekal di kawasan kerikil tidak menunjukkan sebarang perubahan positif ini.

Pakar berhipotesis bahawa punca utama kepada lonjakan penyakit asma dan alahan makanan dalam kalangan kanak-kanak sejak beberapa dekad kebelakangan ini adalah kerana kanak-kanak “terlalu bersih.” 

Lihat saja taman permainan sekarang yg dahulunya berlantaikan rumput dan pasir, bertular menjadi getah dan plastik.

Statistik di Amerika Syarikat sangat membimbangkan. Misalnya, alahan kacang dalam kalangan kanak-kanak setahun melonjak tiga kali ganda antara tahun 2001 hingga 2017. 

Sistem imun kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran yang “steril” dan kekurangan pendedahan kepada bakteria semula jadi yang sepatutnya melatih badan mereka untuk jadi lebih kuat.

Tambah pula gaya hidup moden yang mengehadkan masa bermain di luar iaitu 37 peratus kanak-kanak prasekolah di Amerika hanya luang masa kurang sejam sehari di luar rumah telah melumpuhkan kemampuan semula jadi badan untuk beradaptasi. 

Bak kata Aki Sinkkonen (ketua penyelidik yg jalan kajian, “Paling bagus kalau kanak-kanak boleh bermain dalam lopak air dan semua orang boleh menggali tanah organik.” 

Sekarang, kerajaan Finland dah ambil langkah drastik dengan membiayai transformasi halaman tadika di seluruh negara untuk mengembalikan tanah dan alam semulajadi ke dalam kehidupan harian kanak-kanak.

Saya teringat masa duduk di Melbourne dulu, taman permainannya mesti berpasir dan berumput. Tak jumpa bergetah berplastik macam kita. Kita tak nak anak kita cedera bila bermain tapi sebenarnya mereka lebih berkembang, baik dari sudut kesihatan fizikal dan mental apabila selalu cedera dan terdedah dengan bakteria semasa membesar.

***Penulis adalah saintis dan juga penulis buku-buku berkaitan angkasa, kosmologi, alam semesta, bintang, planet, lohong hitam, jasad-jasad samawi dan pengembaraan masa

Anda Mungkin Berminat