93 Peratus Anggota Polis Sabah Tunai Tanggungjawab Awal Mengundi

KINABATANGAN: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri N58 Lamag, Sabah berlangsung hari ini, di mana 93 peratus anggota polis yang layak hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Seawal pukul 8.00 pagi, pusat pengundian awal dibuka di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan khusus untuk 189 anggota polis yang disenaraikan sebagai pengundi awal.

Proses berjalan lancar sehingga ditutup pada pukul 5.00 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam satu kenyataan media menyatakan penghargaan atas komitmen tinggi para petugas dan pengundi.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” menurut SPR.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kelancaran proses ini termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pasukan keselamatan serta media.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Anda Mungkin Berminat