KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu yang diadakan di ibu pejabat PAS pada Ahad.
Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani presiden parti-parti komponen PN, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur petang tadi.
“Mesyuarat dihadiri oleh semua ahli-ahli Majlis Tertinggi PN, termasuk empat Presiden Parti-parti Anggota iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Presiden BERSATU), Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), Datuk Dr Dominic Lau (Presiden Gerakan) dan P Punithan (Presiden MIPP).
“Agenda mesyuarat yang utama adalah untuk meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026 dan melantik Pengerusi PN yang baharu.
“Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.
“Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik YAB. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta merta,” maklum kenyataan Majlis Tertinggi PN itu.

Pelantikan itu dibuat susulan kekosongan jawatan berkenaan selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin hampir dua bulan lalu.
Pelantikan Dr Ahmad Samsuri dilihat membuka lembaran baharu buat PN, khususnya selepas beberapa episod ketegangan dalaman membabitkan Pas dan Bersatu berikutan krisis kepimpinan di Perlis yang sebelum ini mencorakkan semula landskap serta dinamika gabungan berkenaan.
Baca juga:








