Wanita AMANAH Tegur Pemimpin Pas, Jangan Sensasi Nama Sahabat Rasulullah

KUALA LUMPUR: Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) tampil menegur kenyataan pemimpin Pas, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang didakwa menggunakan ungkapan kurang beradab ketika merujuk kepada sahabat Rasulullah SAW dalam satu ucapan yang kini tular di media sosial.

Ketuanya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penggunaan bahasa kasar dan sensasi terhadap tokoh besar Islam bukan sahaja mencemarkan kemuliaan, malah boleh menimbulkan fitnah serta salah faham terhadap agama.

“Pemimpin yang bercakap atas nama agama seharusnya menunjukkan contoh kesantunan ilmu dan kebijaksanaan dalam berdakwah, bukannya mengundang kontroversi dan kekeliruan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, sejarah kehidupan para sahabat sebelum memeluk Islam boleh dibincangkan dalam kerangka ilmiah, namun penyampaiannya mesti berteraskan adab, akhlak, ketepatan fakta dan kebijaksanaan.

Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, rakyat berhak menilai bahawa pendekatan sedemikian tidak mencerminkan kematangan kepimpinan Islam yang sebenar.

Beliau turut mengingatkan bahawa dalam era media sosial, kenyataan yang dipotong dan disebarkan tanpa konteks mudah dimanipulasi oleh pihak yang memusuhi Islam untuk menghina agama serta memperlekehkan para sahabat Rasulullah SAW.

Terdahulu, rakaman video ucapan Nik Muhammad Zawawi yang menyentuh kisah kehidupan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW sebelum menerima Islam mengundang kritikan kerana didakwa menggunakan pendekatan keterlaluan dan tidak berhikmah.

Tambah Aiman Athirah, dakwah perlu disampaikan dengan penuh hikmah, manakala fakta sejarah hendaklah dijelaskan secara lengkap dan seimbang, bukannya dipetik secara separuh-separuh demi tujuan sensasi.

“Kesilapan seseorang sebelum menerima Islam tidak boleh dijadikan bahan penghinaan setelah mereka dimuliakan dengan iman, taubat dan perjuangan menegakkan agama Allah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat