Anwar tiup semangat skuad Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya menerima suntikan semangat daripada Perdana Menteri menjelang pusingan akhir Piala Asia 2023 (AFC) di Qatar.

AFC secara rasminya bakal membuka tirai saingan bermula 12 Januari ini.

Skuad kebangsaan di bawah bimbingan Kim Pan Gon bakal membuka saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari.

Skuad kebanggaan negara ini memperoleh motivasi tambahan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan atas kemampuan pasukan kebangsaan di Qatar nanti.

“Selepas 42 tahun, kini Harimau Malaya kembali beraksi di pentas Piala Asia 2023 di Qatar.

“Selamat berjuang saya ucapkan dan saya menaruh keyakinan tinggi pasukan kendalian jurulatih Kim Pan Gon mampu beri saingan mantap dalam kejohanan kali ini,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook, pada Khamis.

Tambah Anwar yang mewakili seluruh rakyat Malaysia, beliau mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya untuk berentap bersama pasukan-pasukan yang hebat di pentas AFC Qatar 2023.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.

Perlawanan Piala Asia 2023 akan disiarkan secara langsung di RTM bermula 12 Januari ini dan Anwar menyeru supaya peminat bola sepak sama-sama memberikan sokongan kepada pasukan negara.

Baca juga: