Stesen radio popular, Suria FM berjaya mencatat kejayaan apabila berada pada kedudukanke-30 dalam senarai, Penarafan Bulanan Metrik Penstriman Digital Triton Secara Global oleh Triton Digital bersama platform radio terkenal antarabangsa seperti iHeartRadio, PrisaRadio dan Grupo Bandeirantes.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan mengatakan ia memberi motivasi kepada mereka untuk lebih berkembang.
“Pencapaian ini memotivasikan kami untuk terus berkembang dan menyampaikan kandungan berkualiti kepada pendengar setia Suria FM.
“Pengiktirafan ini membuktikan keberadaan Suria FM dalam kalangan kedudukan penerbit audio yang terbaik di dunia sebaris dengan beberapa penerbit audio antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Kedudukan ini ditentukan melalui catatan average active sessions (AAS), session starts (SS) dan average time spent listening (ATSL) oleh Triton Digital.
Berdasarkan rekod tersebut, Suria FM berjaya merekod sebanyak 10,771 AAS, 2.6 juta SS dan 1.18 ATSL setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.
Manakala setiap Isnin hingga Ahad dari pukul 6 pagi sehingga 12 tengah malam pula, Suria FM meraih sebanyak 7,963 AAS, 4.4 juta SS dan 1.01 ATSL.
Triton Digital ialah peneraju teknologi dan perkhidmatan global kepada industri audio digital dan podcasts yang kini beroperasi di lebih daripada 45 negara.
Baca juga: